fb fb fb fb fb

Malaysia bersolidariti bersama-sama Republik Arab Mesir

FOTO REUTERS

KUALA LUMPUR, 4 September - Malaysia menyokong penuh usaha Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) sebagai pengantara gencatan senjata kekal berdasarkan gencatan senjata tiga fasa yang diusulkan AS dan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2735 (2024).

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, punca utama perjanjian gencatan senjata masih belum dicapai sehingga kini disebabkan sikap tidak berkompromi dan keangkuhan rejim Israel yang kerap mengubah syarat-syaratnya.

"Hal ini terbukti melalui kenyataan provokatif yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Israel pada 2 September 2024, dimana ia dikecam keras Malaysia.

"Kenyataan tersebut, termasuk tuduhan tidak berasas terhadap Mesir, adalah provokatif, tidak bertanggungjawab, dan tidak wajar, " menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu Malaysia menegaskan Mesir berhak sepenuhnya menolak semua tuduhan Israel itu.

Negara Malaysia turut menyatakan komitmen bekerjasama dengan negara-negara sehaluan bagi memastikan kemasukan Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai anggota penuh.

"Malaysia akan terus teguh dalam komitmen kami terhadap perjuangan rakyat Palestin dan meneruskan usaha-usaha ke arah penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya," kata kenyataan itu.

TETITIA YUSOFF