fb fb fb fb fb

Malaysia berpotensi tarik pelaburan, jika utamakan ESG - Liew

Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong/BERNAMA

SHAH ALAM, 9 Mei- Malaysia mempunyai peluang yang cerah untuk menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara dengan mengutamakan dasar dan strategi perniagaan yang betul dan tidak lagi bergantung kepada model ekonomi lama.

Justeru, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong menggesa setiap syarikat tempatan menjadikan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai sebahagian daripada strategi teras mereka.

"Saya menggesa setiap syarikat untuk menjadikan ESG sebahagian daripada strategi teras anda.

Dengan mengutamakan prinsip ini, kita boleh mewujudkan masyarakat yang lebih saksama di mana setiap individu mempunyai peluang untuk berkembang maju" katanya pada majlis Forum ESG yang dianjurkan oleh SIRIM Bhd, di Shah Alam, Selangor.

Teks ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan dan Pengurusan) MITI, Datuk Bahria Mohamad Tamil.

Pada majlis tersebut, Datuk Bahria Mohamad Tamil turut melancarkan platform SIRIM "Blockchain Verification", sistem baharu yang membantu perniagaan dan individu mengesahkan sijil dan dokumen dengan lebih cepat dan selamat.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM