SHAH ALAM, 9 Mei- SIRIM Berhad menyasarkan 2,000 syarikat melaksanakan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menjelang 2027.
Sasaran itu susulan kebanyakan negara Eropah yang mengimport produk Malaysia mewajibkan sijil ESG, menjelang 2027 sebagai memenuhi kriteria yang diperlukan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata pihaknya telah membantu lebih 300 syarikat di seluruh negara setakat ini, dengan rangka kerja khusus seperti SIRIM 55: Kemajuan ESG dan SIRIM 56: Kesiapsiagaan ESG dalam industri mereka.
Ini membuktikan transformasi terhadap amalan tersebut boleh dicapai dengan panduan dan alat yang tepat.
Beliau turut berharap lebih banyak syarikat Malaysia akan menerima pakai rangka kerja ESG bagi memupuk kemampanan jangka panjang dan memberi kesan positif kepada alam sekitar dan masyarakat.
Jelasnya, dengan mengintegrasikan prinsip itu ke dalam strategi syarikat, ia bukan sahaja berupaya memacu pertumbuhan dan keuntungan malah menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan.
"Sekiranya syarikat tidak mengamalkan prinsip ESG, syarikat malaysia tidak akan berdaya saing dan akan ketinggalan.
Kita nak memastikan syarikat Malaysia memberikan satu nilai tambah dan terkehadapan sekurang-kurangnya di ASEAN dan seterusnya menjadi negara pengeksport terbesar global kerana memenuhi citarasa keperluan ESG yang diperlu dunia," katanya selepas melancarkan Forum ESG, di pejabat SIRIM, di sini.
Forum tersebut bertujuan meningkatkan pemahaman orang ramai tentang ESG melalui ceramah, bengkel dan pameran.
Tambahnya, meskipun prinsip ESG semakin penting, kesedaran mengenainya masih terhad terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Bagi menangani isu itu, SIRIM akan membangunkan bahan pendidikan yang lebih mudah difahami serta kajian kes yang menunjukkan amalan ESG boleh memberikan keuntungan jangka panjang kepada perniagaan.
Forum dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan dan Pengurusan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Bahria Mohamad Tamil mewakili Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong.
Pada majlis sama, turut dilancar platform SIRIM "Blockchain Verification", sistem baharu yang membantu perniagaan dan individu mengesahkan sijil dan dokumen dengan lebih cepat dan selamat.