(Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kebergantungan negara pada makanan import masih
tinggi terutamanya daging dan bahan makanan industri ternakan seperti jagung dan bijirin)
KAZAN, 19 Mei- Malaysia berminat meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian dengan Rusia bagi menangani isu bekalan makanan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kebergantungan negara pada makanan import masih tinggi terutamanya daging dan bahan makanan industri ternakan seperti jagung dan bijirin.
Jelasnya, Malaysia akan mendapatkan kepakaran Rusia dan negara lain dalam bidang penyelidikan dan pembangunan produk akuakultur dan agrobioteknologi.
"Perjumpaan seterusnya, MoU akan ditandatangan dalam beberapa bulan lagi antara Malaysia dengan Rusia. Saya juga telah mengundang menteri pertanian Rusia untuk datang ke KL menandatangani MoU dalam bidang pertanian," kata Mohamad kepada media di sini.
Hasrat itu dinyatakan dalam sesi meja bulat Malaysia-Rusia bersempena Forum Ekonomi Antarabangsa ke-14 Rusia-Dunia Islam: Forum Kazan 2023.
Sesi itu turut disertai wakil kedua-dua negara antaranya Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dan Timbalan Menteri Pembangunan Ekonomi Rusia, Dmitry Volvach.
Beliau berharap, kerjasama baharu dalam industri pertanian bersama Rusia akan menjadi pemangkin kepada hubungan dagangan lebih kukuh pada masa akan datang.
Tahun lalu, jumlah import produk pertanian dari Rusia meningkat 13.7% kepada RM1.08 bilion berbanding RM95 juta pada tahun sebelumnya.
Manakala eksport naik 23.2% kepada RM53 juta.
(Datuk Seri Mohamad berkata Malaysia berminat tingkat kerjasama pertanian dengan Rusia)