PETALING JAYA, 19 Mei - Kerajaan berusaha memperkasa kaum wanita khususnya dalam sektor ekonomi, kewangan dan sosial, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Anwar menegaskan kerajaan akan memberikan komitmen dan dukungan berterusan untuk usaha tersebut.
"Menerusi pelbagai inisiatif dan program yang dirangka, saya percaya wanita akan terus diberi peluang yang adil dan saksama untuk berjaya dalam pelbagai bidang.
“Keberadaan kalian sebagai wadah pertemuan dan wacana bagi wanita-wanita dari pelbagai negara merupakan sumber inspirasi yang terbesar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu awal pagi tadi Anwar bersama isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menghadiri Majlis Perasmian pembukaan Persidangan Dunia Ke-30 Associated Country Women of the World (ACWW) di Hotel Marriot, di Putrajaya.
(Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menghadiri Majlis Perasmian pembukaan Persidangan
Dunia Ke-30 Associated Country Women of the World (ACWW) di Hotel Marriot, di Putrajaya.
Turut hadir Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang,
Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah/FOTO FB Anwar Ibrahim)
Majlis perasmian persidangan tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurutnya, beliau turut merasa berbesar hati dengan kehadiran Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Beliau berkata keberadaan ACWW sebagai wadah pertemuan dan wacana bagi wanita-wanita dari pelbagai negara merupakan sumber inspirasi yang terbesar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ACWW mampu membawa wanita ke tahap yang lebih tinggi dalam masyarakat.