KUCHING, 12 Jun- Malaysia akan memberi keutamaan kepada persekitaran mesra inovasi dalam mengiktiraf potensi hidrogen.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan kerajaan akan mengutamakan persekitaran mesra inovasi melalui sokongan kewangan, insentif untuk penggunaan teknologi hidrogen dan pelbagai kerjasama pihak berkepentingan.
Beliau berkata, kerajaan juga mengambil berat tentang pembangunan infrastruktur dan pelaburan yang penting untuk penerimaan dan penggunaan hidrogen secara meluas.
"Ia merangkumi stesen mengisi minyak untuk kenderaan berkuasa hidrogen dan integrasi hidrogen ke dalam proses perindustrian sedia ada dalam mengurangkan pelepasan karbon.
"Langkah ini selari dengan visi kerajaan dalam meletakkan negara sebagai peneraju dalam teknologi hidrogen dan inovasi dengan menyokong penyelidikan dan pembangunan, penjanaan idea dan pertumbuhan perniagaan sekaligus mengurangkan perubahan iklim,"katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik APGH 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching hari ini.
Sementara itu Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata APGH 2024 yang diadakan selama tiga hari bermula Isnin lalu dihadiri 3,233 pelawat perdagangan dari dalam dan luar negara.
Persidangan itu juga berjaya menarik lebih RM6 billion nilai pelaburan daripada pemeteraian memorandum persefahaman MoU yang ditandatangani antara Sarawak bersama syarikat industry terlibat dalam Hidrogen Hijau.