fb fb fb fb fb

Premier Sarawak cadang cari sumber tenaga alternatif lain, kurangkan kebergantungan kepada diesel

Tan Sri Abang Johari ditemui media selepas menghadiri Forum Teknologi Bersih AS-Malaysia 2024 di BCCK, Kuching

KUCHING, 12 Jun- Malaysia harus mencari sumber tenaga alternatif untuk menggantikan diesel berikutan langkah rasionalisasi subsidi.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dengan cara itu, kebergantungan kepada sumber tenaga fosil berkenaan dapat dihentikan.

"Mengapa kita perlu bercakap tentang diesel sedangkan kita mempunyai hidrogen?. Itulah penyelesaiannya. Jika kita masih menggunakan diesel, orang akan terus meminta subsidi,"katanya.

Ke arah itu, Sarawak sedang mencari kaedah untuk mengurangkan kadar tenaga elektrik bagi penghasilan setiap sekilogram hidrogen.

Sarawak kini sedang giat meneroka hidrogen sebagai tenaga boleh diperbaharui, termasuk mengurangkan kos pengeluarannya.

Jika ia dapat dicapai, tenaga bersih dapat dijual dalam kadar yang murah.

Buat masa ini, 38 kilovolt tenaga elektrik sejam diperlukan bagi menghasilkan sekilogram hidrogen dan kini usaha menurunkan kuasa kepada 15 kilovolt sejam sedang dalam kajian.

Beliau percaya melalui teknologi itu akan berupaya mengurangkan kos sara hidup sekali gus menghapus kemiskinan.

Tan Sri Abang Johari berkata demikian dalam ucaptama Forum Teknologi Bersih AS-Malaysia 2024 di BCCK, Kuching.

Forum dua hari itu dihadiri sekitar 100 peserta melibatkan deligasi dari Amerika Syarikat dan Malaysia.

Turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE