fb fb fb fb fb

Kencing tikus, Kolam Air Panas Jasin diarah tutup

Foto RTM

JASIN, 12 Jun- Kolam Air Panas Jasin, Melaka di arah tutup selama 14 hari berikutan disyaki berlaku kluster Leptospirosis atau kencing tikus.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Ruzita Mustaffa berkata penutupan bermula 8 Jun lalu dan pengusaha pusat rekreasi berkenaan diarah melaksana kerja-kerja pembersihan.

Terdahulu pada 7 Jun, Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah telah menerima makluman mengenai gejala Leptospirosis daripada pelajar-pelajar sebuah sekolah di daerah Melaka Tengah selepas mengikuti program terapi air di Kolam berkenaan 5 Jun lalu.

Siasatan lanjut mendapati program berkenaan disertai seramai 78 orang terdiri daripada pelajar, guru, ibu bapa dan penjaga.

Daripada jumlah tersebut seramai 27 orang mengalami gejala dengan lima daripada mereka di rawat di Hospital Melaka dan selebihnya di beri rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Ayer Keroh.

Selain itu, enam kes baharu turut dikesan melibatkan orang awam yang berkunjung ke Pusat rekreasi berkenaan antara 7 Jun hingga 11 Jun lalu.

Ia menjadikan keseluruhan 33 kes yang dilaporkan.

Sampel klinikal pesakit telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kesihatan (MKAK) Sungai Buloh untuk ujian.

Justeru sebagai langkah kawalan, Kolam Air Panas Jasin di arah tutup sementara dan pengusaha dinasihat untuk menukar  air kolam secara kerap dan berjadual, menjaga kebersihan dan memastikan tiada infestasi tikus atau haiwan pembawa penyakit lain

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD