fb fb fb fb fb

Malaysia berada di tangga ke-7, negara paling dipercayai

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 27 Jun- Malaysia berada di tangga ke-7 negara paling dipercayai menerusi hasil kaji selidik Barometer Kepercayaan Edelman 2024 yang melibatkan tinjauan ke atas 28 negara.

Laporan itu menunjukkan Malaysia naik dua anak tangga selepas mencatat 68 mata dalam pemarkahan Indeks Kepercayaan secara menyeluruh yang mewakili purata peratusan kepercayaan orang ramai terhadap badan bukan kerajaan (NGO), perniagaan, kerajaan dan media.

Negara-negara lain dalam kelompok 10 teratas termasuk China (skor 79), India (76), Emiriah Arab Bersatu (74), Indonesia (73), Arab Saudi (72), Thailand (70), Singapura (67), Kenya (64) dan Nigeria (61).

Ketua Pegawai Operasi Edelman Malaysia Chris de Cruz berkata, peningkatan kepercayaan yang diraih menunjukkan anjakan persepsi awam terhadap tadbir urus dan rangka kerja institusi negara ini.

"Keadaan itu memaparkan peningkatan optimis dalam kemampuan mengemudi cabaran ekonomi serta memupuk pertumbuhan inklusif," katanya.

Hasil kaji selidik itu menunjukkan perniagaan menjadi institusi paling dipercayai dengan skor 75, diikuti NGO (70), kerajaan (67) dan media (60).

Berdasarkan kaji selidik itu, kalangan warga Malaysia juga berharap agar kelompok ketua pegawai eksekutif untuk berdiri kukuh dalam isu-isu kritikal termasuk gaji saksama, perubahan iklim dan ketidaksamaan ekonomi.

"Perniagaan yang seiringan dengan nilai-nilai awam dan secara aktif menangani kebimbangan masyarakat, lebih cenderung meraih sokongan orang ramai. Perniagaan adalah institusi paling dipercayai dalam Barometer Kepercayaan Edelman yang dilihat sebagai mekanisme inovasi.

"Bagaimanapun, perniagaan juga perlu mengutamakan pelaksanaan dan menerima perubahan sama seperti penyelidikan dan pembangunan," kata de Cruz.

Dapatan kaji selidik itu dijalankan pada 3-22 November tahun lalu dan meninjau lebih 32,000 responden di 28 negara.

Ia termasuk lebih 1,000 responden di Malaysia yang turut memberi gambaran sentimen awam mengenai aspek kepercayaan, inovasi dan tadbir urus.

Usaha itu juga merupakan tinjauan kepercayaan dan kredibiliti tahunan bagi firma itu yang mengetengahkan asas program kepimpinan pemikirannya yang meneliti keyakinan dan kredibiliti merentasi industri, geografi dan demografi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI