fb fb fb fb fb

Malaysia bawa suara ASEAN, platform penting agenda serantau

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 30 SEPTEMBER – Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bukan sekadar membawa suara ASEAN, sebaliknya menjadi platform penting memperkukuh kerjasama ekonomi, pelaburan strategik dan memperluas perdagangan di rantau ini.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menegaskan sidang kemuncak kali ini tidak boleh tertumpu hanya kepada isu geopolitik semata-mata, sebaliknya ASEAN perlu bersuara dengan satu nada dalam agenda pembangunan ekonomi serantau.

"Peluang ini harus dimanfaatkan dengan semua rakan dialog termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea, Australia serta Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bagi memperkukuh integrasi ASEAN.

“Inilah kepimpinan yang Malaysia tawarkan – menegakkan prinsip keadilan sejagat, istiqamah membela Palestin serta memikul tanggungjawab sebagai pengerusi ASEAN membina rantau makmur, stabil dan sejahtera,” kata Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Katanya, Kerajaan MADANI akan memastikan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur menjadi bukti bahawa Malaysia mampu memimpin dengan hikmah, lantang membela yang tertindas, cekal memperjuangkan kepentingan rakyat, dan bijaksana mengimbangi diplomasi global.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang bakal berlangsung di sini pada 26 hingga 28 Oktober ini, juga menjadi platform dialog dan dijangka dihadiri oleh pemimpin dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump selain Perdana Menteri China Li Qiang.

GRACE AISYAH KEDAYAN