CYBERJAYA 30 September - Kerajaan memberi jaminan kepada orang ramai bahawa infrastruktur digital yang menyokong inisiatif subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95) adalah selamat daripada ancaman siber.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata penilaian keselamatan siber yang menyeluruh telah dijalankan ke atas sistem berkenaan untuk menentukan keberkesanannya dengan mengambil kira pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku.
"Seperti mana yang saya sebutkan tadi, aspek keselamatan penting dan kita melihat secara mendalam, apa yang kita laksanakan sistem yang telah di ambil kira kemungkinan tertentu, jadi kepada saya ia selamat buat masa sekarang dan kita akan teruskan, ini adalah salah satu aspek yang akan kita kita lihat secara teliti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Digital, Pertahanan dan Keselamatan Siber Asia (CyberDSA 2025) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data 2026–2030 akan dilancarkan menjelang akhir tahun ini.
Dibangunkan dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia dan Jabatan Digital Negara, strategi tersebut akan menggariskan matlamat nasional bagi memperkukuh keselamatan siber serta membina keyakinan awam terhadap ekosistem digital negara.
Gobind berharap Kementerian Digital dapat melancarkan dokumen tersebut sebelum akhir tahun ini supaya gerak kerja ke hadapan, khususnya dalam memupuk kepercayaan digital dapat dilihat, difahami dan dilaksanakan dengan jelas.