fb fb fb fb fb

Malaysia-Australia perkukuh hubungan ekonomi

Datuk Seri Anwar menyampaikan syarahan di Australian National University (ANU), Canberra

CANBERRA, 7 Mac- Hubungan ekonomi antara Malaysia-Australia terus diperkukuh menerusi empat kerangka kerja ekonomi yang telah dijalin bersama.

Antaranya termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kolaborasi yang telah berkembang sejak kebelakangan ini dipacu oleh kepentingan geo-ekonomi bersama demi mencapai kemakmuran serantau.

"Kami juga gembira dengan komponen Strategi Ekonomi Asia Tenggara (SEAS) Australia yang berfokus pada perdagangan baru-baru ini, yang mengiktiraf keperluan untuk memperdalam kerjasama sebegitu antara Australia dan ASEAN di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat,"katanya.

Beliau menjelaskannya ketika menyampaikan syarahan di Australian National University (ANU), Canberra.

Tambahnya lagi, sektor komoditi seperti hidrokarbon, arang batu, minyak sawit dan tembaga ditapis merupakan produk penting dalam perdagangan dua hala.

Sementara itu Datuk Seri Anwar memaklumkan, Malaysia komited membawa pembaharuan kepada forum kepimpinan ASEAN selaku tuan rumah ASEAN pada tahun hadapan,

Ia melibatkan penganjuran Sidang Kemuncak Asia Timur, Forum Serantau ASEAN serta  Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN- (ADMM) Plus.

"Laluannya tidak mudah, satu darjah inersia telah pun ditetapkan. Terdapat konservatisme yang mendalam, andaian bahawa tidak banyak yang boleh dilakukan. Tetapi ini bukan masa untuk menjadi takut. Saya percaya bahawa, dengan kemahuan dan sokongan yang mencukupi daripada rakan kongsi kita, kita akan dapat mencapai kejayaan,"katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE