fb fb fb fb fb

JAKIM minta MCMC turunkan hantaran berkaitan ajaran Ahmadi

Datuk Dr Mohd Naim ditemui media selepas merasmikan Seminar Keluarga Madani di Auditorium JAKIM

PUTRAJAYA, 7 Mac- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menurunkan hantaran Ahmadi-Agama Keamanan dan Cahaya yang menyimpang dari ajaran Islam.
 
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, pihaknya juga telah meminta Jabatan Agama Islam negeri-negeri untuk menyiasat ajaran tersebut tidak disebarkan di negara ini.
 
"Arahan saya kepada agensi-agensi agama termasuklah JAKIM dan juga JAWI adalah untuk memantau ajaran tersebut, ia memang sangat jelas bertentangan dengan syariat Islam, kita tidak mahu generasi muda terpengaruh dengan ajaran tersebut.

"Jadi kita akan berbincang dengan PDRM dan juga SKMM, kita mengharapkan kerjasama SKMM untuk menurunkan hantaran TikTok dan sebagainya daripada ditonton oleh pengikut-pengikut dia,"katanya.
 
Jelas Datuk Naim, pihaknya telah cuba menjejaki kumpulan tersebut namun ia menjadi kekangan kerana mereka berada di luar negara.
 
Beliau ditemui selepas hadir merasmikan Seminar Keluarga Madani di Auditorium JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya yang dihadiri seramai lebih 500 peserta.
 
Dalam pada itu, Datuk Naim turut mengingatkan ibu bapa untuk sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka supaya tidak mudah terpengaruh dengan ajaran sesat tersebut.
 
Ajaran Ahmadi-Agama Keamanan dan Cahaya yang menyimpang dari ajaran Islam dilihat semakin berani dengan membuat siaran langsung di aplikasi TikTok setiap hari dengan lebih 30,000 pengikut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE