fb fb fb fb fb

Sebahagian LTU ByPass Raub dibuka kepada pengguna tengah malam ini

Sebahagian Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Seksyen 5A Raub ByPass akan boleh dilalui pengguna jalan raya bermula pukul 12.01, tengah malam ini / Foto Bernama

RAUB, 7 Mac - Sebahagian Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Seksyen 5A Raub ByPass akan boleh dilalui pengguna jalan raya bermula pukul 12.01, tengah malam ini.

Pembukaan laluan sepanjang 6.4 kilometer (km) itu membolehkan perjalanan ke Pantai Timur bertambah lancar selain menjimatkan masa, kos bahan api serta mengurangkan kesesakan jalan raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata pengguna yang berulang alik ke Pantai Timur kini tidak perlu lagi melalui Bandar Bentong dan Bandar Raub, terutama ketika waktu puncak, musim perayaan dan cuti umum.

"Baki 2.6km dijadualkan siap pada Jun tahun ini.Sebenarnya seksyen 5A ini bermula pada 13 Jun 2019 dengan kos sebanyak RM252.5 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pembukaan Lingkaran Tengah Seksyen 5A ByPass, di sini.

Tambah Alexander, dengan pembukaan jajaran itu, hanya 30 minit masa diambil bagi perjalanan dari Lebuhraya Pantai Timur ke Kuala Lipis tanpa perlu melalui Bandar Bentong dan Raub, dengan jarak 45.3km.

Dalam perkembangan lain, Alexander memaklumkan kerajaan belum berhasrat untuk memansuhkan tol Gombak dan Karak bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Beliau berkata, pemansuhan tol itu akan memberi kesan terhadap kewangan kerajaan kerana perlu menyediakan dana bagi tujuan penyelenggaraan lebuhraya.

"Saya berharap pengguna kita faham tol ini kalau di mansuh ia akan membebankan kerajaan untuk dapat kewangan untuk kita pastikan standard jalan tu dengan kerja-kerja penyenggaraan. Kalau kekurangan kewangan nanti itu boleh terjejas. Buat masa sekarang kita belum ada lagi hasrat untuk mansuh tol itu," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN