fb fb fb fb fb

JaPen akan keluarkan perincian berkenaan kad perakuan media

Fahmi Fadzil

GEORGE TOWN, 7 Mac- Kenyataan rasmi berhubung perincian isu kad perakuan media akan dikeluarkan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) hari ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Kenyataan itu memperincikan beberapa perkara berbangkit ketika pihaknya melakukan Majlis Peluncuran Kod Etika Wartawan Malaysia pada 20 Februari lalu.

Setakat ini beliau berpuas hati dengan penjelasan JaPen berhubung perkara tersebut termasuk berkaitan tempoh sah laku kad media.

"Pelbagai isu keselamatan adalah peraturan atau lebih tepatnya berkaitan dengan lebihan apabila JaPen meneliti ada sejumlah media atau laman-laman web dalam talian yang baru diwujudkan.

"Itu antara sebab mereka meneliti perkara tersebut. Jadi saya telah minta mereka berikan penjelasan yang lebih mendalam dan ia akan keluar sebentar lagi. Saya sahkan kenyataan itu memang mereka telah berhubung dengan pihak pejabat saya, saya berpuas hati," katanya selepas mengadakan lawatan ke Penang House of Music di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini.

Fahmi menegaskan penyelarasan itu berperanan sebagai pemudah cara untuk membuat liputan terutama melibatkan program rasmi kerajaan dan bukannya untuk menyekat kebebasan bersuara pengamal media.

Dalam pada itu kelab pemberita agensi antarabangsa memaklumkan tempoh sah laku kad media agensi itu lebih singkat berbanding media tempatan meskipun mereka juga merupakan rakyat Malaysia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI