fb fb fb fb fb

Malaysia-Arab Saudi komited perkukuh hubungan dagang

(Selain industri minyak dan gas, perhatian harus turut tertumpu kepada peluang
kerjasama dalam pelbagai sektor baharu yang pesat berkembang)

MEKAH, 23 Mac- Arab Saudi, negara terbesar di rantau Teluk dengan populasi penduduk mencecah 36-juta orang.

Sekali gus menawarkan akses pasaran cukup luas untuk diteroka Malaysia.

Selain industri minyak dan gas, perhatian harus turut tertumpu kepada peluang kerjasama dalam pelbagai sektor baharu yang pesat berkembang.

Nilai dagangan Kuala Lumpur-Riyadh mencecah AS$10.26 bilionpada tahun 2022, peningkatan 159.2%, berbanding AS$4.23-bilion, tahun sebelumnya.
 
Bagi tempoh sama, eksport ke Arab Saudi meningkat 43.8% manakala import dari negara itu bertambah 205.8%

Meskipun ada lonjakan, namun jumlah eksport-import antara kedua-dua negara tidak seimbang. Jumlah eksport ke Arab Saudi masih jauh ketinggalan berbanding import dari negara itu ke Malaysia. Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan, trend tersebut sudah berterusan sejak beberapa tahun lalu.

Sehubungan itu, lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi amat penting, bukan saja bagi mengimbangi perdagangan dua hala, malah melonjakkannya ke tahap lebih tinggi.
 
Pertemuan bersama komuniti perniagaan utama, mengisi agenda hari kedua kunjungan beliau.


 Pertemuan ini merupakan satu wahana bagi YAB PM meneroka peluang ekonomi yang boleh diceburi ahli perniagaan Malaysia di Arab Saudi serta mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara.

Kekuatan Arab Saudi, semestinya dalam industri minyak dan gas, yang mencatat pertumbuhan positif dengan lonjakan 32.7% dalam KDNK tahun lalu.
 
Permintaan terhadap bahan bakar dari negara itu meningkat drastik susulan konflik Rusia-Ukraine.
 
Untuk itu, Malaysia harus mengintai usaha sama baharu dengan Arab Saudi, dalam industri berkenaan.
 
Namun perlu diingat, inisiatif mempelbagaikan ekonomi bawah agenda wawasan 2030 yang dilancar Arab Saudi pada 2016, antara lain menyasarkan pengurangan kebergantungan negara itu pada minyak.

Ini masanya untuk syarikat-syarikat Malaysia meneroka peluang kerjasama dalam pelbagai sektor, termasuk tenaga boleh baharu, teknologi telekomunikasi dan kesihatan.

(Datuk Wan Zaidi berkata Malaysia-Arab Saudi komited perkukuh hubungan dagang)

"Beberapa MOU dijangka ditandatangani kedua-dua negara. pemeteraian MoU itu akan beri peluang kepada kedua-dua negara meneroka potensi kerjasama dalam pelbagai bidang," kata Duta Besar Malaysia ke Arab SaudI, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.

Fokus juga perlu tertumpu kepada pembangunan beberapa projek bandar pintar bertaraf giga di Arab Saudi, antaranya Neom, Mukaab, Red Sea dan Qidiyya.
 
"Malaysia perlu berusaha memastikan syarikat tempatan ‘mendapat tempat’ untuk terlibat sama dalam projek tersebut. Dengan kepakaran dan pengalaman dalam bidang kejuruteraan, tidak mustahil, matlamat itu mampu dicapai. Malah, kemampuan Malaysia juga sudah diakui Arab Saudi apabila diberi mandat mengendalikan operasi sistem perkhidmatan rel al-Mashaaer al-Mugadassah Makkah Metro dan projek naik taraf jambatan ke kompleks Jamarat," tambah beliau.

(Laporan Andy Reza Rohadian)



 

Media Baharu