fb fb fb fb fb

Malaysia seru penubuhan agensi PBB urus isu air

(FOTO FB KEMENTERIAN)

KUALA LUMPUR, 24 Mac - Malaysia mencadangkan sebuah agensi khusus untuk air ditubuhkan di peringkat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi melaksanakan Agenda Tindakan Air.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata agenda itu memerlukan rangka kerja yang menumpukan peranan air sebagai tonggak menghubungkan hasil sosial, alam sekitar, ekonomi dan budaya.

(Nik Nazmi ketika berucap di Persidangan Air 2023 PBB di New York,
Amerika Syarikat / FOTO FB KEMENTERIAN)

"PBB perlu terus membantu mewujudkan mekanisme bagi membolehkan negara maju menyediakan bantuan kewangan dan teknikal, serta pembangunan kapasiti untuk mempercepatkan pencapaian SDG 6 (Matlamat Pembangunan Mampan 6)," katanya ketika berucap di Persidangan Air 2023 PBB di New York, Amerika Syarikat pada Khamis.

Nik Nazmi turut meminta masyarakat global memperakui bahawa krisis iklim adalah krisis air memandangkan dunia berdepan kekurangan air, peruntukan sanitasi yang tidak mencukupi, serta bencana yang lebih teruk dan kerap serta kejadian cuaca ekstrem.

"Perubahan iklim memburukkan dan melebarkan jurang pembangunan sedia ada. Air adalah tumpuan untuk menangani isu ini," katanya.

Media Baharu