fb fb fb fb fb

Malaysia antara pasaran perfileman terbesar

(Tan Sri Annuar berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Ekspresi@Finas
di Studio Merdeka Finas/BERNAMA)

AMPANG, 24 Oktober- Pengiktirafan Amerika Syarikat yang meletakkan Malaysia di tangga ke-19 dalam senarai pasaran perfileman terbesar global membuktikan para penerbit, pelakon dan pengarah filem tempatan mampu menghasilkan filem-filem terbaik bertaraf antarabangsa, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

"Sebelum COVID-19 industri kita ini bukan kecil. Badan antarabangsa Amerika Syarikat meletakkan Malaysia nombor 19 pasaran terbesar daripada lebih 180 negara.

"Kalau satu filem sahaja dapat menjana hampir RM100 juta sedangkan kita tahu berapa lagi filem sedang menanti yang akan kita keluarkan dengan mutu dan nilai yang terbaik ia akan melonjakkan ekonomi dan industri perfileman kita," kata Annuar ketika berucap di Majlis Perasmian Penutupan Ekspresi@finas 2022 di sini.

Majlis penutupan itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan turut dihadiri Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Senator Datuk Seri Zurainah Musa dan Ketua Setiausaha K-KOMM, Datuk Seri Mohammad Mentek. 

(Datuk Seri Ismail Sabri ketika sesi bergambar bersama pengunjung yang hadir pada
Majlis Perasmian Penutupan Ekspresi@Finas di Studio Merdeka Finas/BERNAMA)

Media Baharu