KUALA LUMPUR, 1 Mei- Malaysia akan menggunakan hubungan baik di peringkat antarabangsa bagi membantu menghentikan penindasan rejim Israel ke atas Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu penindasan di Gaza tidak hanya melibatkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), negara-negara Arab dan Islam semata-mata.
"Saya tidak fikir isu ini dianggap sebagai isu negara Islam atau negara Arab dan kita harus manfaatkan bila ada dukungan kenyataan yang positif dari negara China, Rusia dan lebih-lebih lagi Kesatuan Afrika, Brazil, Sepanyol dan beberapa negara lain, Ireland. Jadi, saya usulkan kepada dunia Arab, kita harus merangka strategi yang melibatkan negara ini dan tidak melihat ini sebagai OIC, negara Arab dan Islam.
"Walau keadaan itu agak berat, kita dapatkan dukungan secara menyeluruh", katanya dalam Program Soal Jawab bersama Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di TV1.
Jelasnya, beliau mendukung dan menghormati pendirian Brazil dan Sepanyol yang lantang menyuarakan isu kemanusiaan di Gaza.
"Kita sampaikan kepada Presiden Brazil Lula da Silva dan Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez bahawa kita mendukung dan menghormati sikap mereka (yang menyokong Palestin) kerana ini (penindasan di Gaza) adalah masalah kemanusiaan," katanya.