fb fb fb fb fb

Kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap isu 3R - Anwar

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Mei- Kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kebebasan bersuara bukanlah tiket untuk mencerca dan memaki hamun sesuka hati meskipun ia termaktub dalam perlembagaan negara.

"Raja-raja Melayu secara konsensus meminta supaya kerajaan lebih tegas menghalang. Ini kerana mereka merasa tidak adil. Raja-raja Melayu diserang tapi tidak boleh jawab.

"... semua cakap nak pertahan Melayu, parti pun parti Melayu tetapi maki Raja-raja Melayu. Saya nak tegaskan, saya tidak akan bertolak ansur. Langgar peraturan ini, polis akan bertindak tegas dan saya minta peguam negara kaji dan bawa ke mahkamah. Biar mahkamah putuskan," kata Anwar dalam Program Soal Jawab bersama Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di TV 1.

Anwar berkata kerajaan tidak akan berkompromi terhadap pihak-pihak yang menyentuh institusi raja-raja, sebagai contoh dakwaan penglibatan raja dalam penubuhan kasino. 

Terdahulu, Anwar ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 hari ini menegaskan mana-mana pihak yang mengaitkan beliau dan kerajaan dengan dakwaan ada perbincangan mengenai projek lesen kasino di Forest City, perlu diambil tindakan undang-undang.

Menyifatkan pihak berkenaan tiada modal berpolitik, Anwar berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tidak pernah menyebut kepada beliau minat baginda untuk mengadakan tempat perjudian di Forest City. 

Temu bual khas hampir sejam bersama Perdana Menteri Malaysia Ke-10 itu dikendalikan penyampai RTM Sayed Munawar Sayed Mustar, Pasha Abdul Rahim (Bernama TV), Muhammad Zulfitri Yusof (Astro Awani) dan Azaria Tagaya (TV3).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM