fb fb fb fb fb

Literasi digital, satu sisipan sistem pendidikan baharu

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Sirajuddin Jalil

KUALA LUMPUR, 1 Mei- Satu sisipan sistem pendidikan baharu berasaskan literasi digital perlu diwujudkan seiring pelaksanaan sekatan pengunaan platform media sosial ke atas kanak-kanak berusia bawah 13 tahun.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Sirajuddin Jalil berpendapat, penegasan itu penting bagi memastikan para pelajar khususnya di peringkat sekolah rendah, dapat mengimbangi penggunaannya dengan lebih rasional dan bijaksana.

Katanya, perkara itu juga harus diperhalusi secara lebih mendalam dengan membawa ia ke meja rundingan khususnya antara pihak kerajaan, kementerian pendidikan dan pempengaruh.

Tujuannya, bagi mencari penyelesaian serta menentukan garis panduan yang adil dan terbaik kepada semua pihak, terutama kelompok pempengaruh media sosial dalam industri hiburan tanah air."

"Ada juga, kanak-kanak di bawah umur ini yang telahpun menjadi pempengaruh di mana pengikutnya mencecah jutaan orang. Ada yang sampai ke tahap 4 juta orang. Ini sudah pasti dalam kelompok selebriti."

"Kita tidak boleh lari daripada membuatkan mereka ini tersekat langsung daripada penggunaan digital tetapi biarlah mereka ini, di rumah mungkin boleh mendapat soal pendidikan 'informal' melalu pihak kementerian komunikasi, mungkin mereka dapat advokasi soal bahaya, soal akta dan undang-undang dan sebagainya."

"Tapi melalui kementerian pendidikan itu sendiri dapat menzahirkan satu wadah pemikiran tentang kebaikan penggunaan digital itu dan ancaman sekiranya mereka ini tidak memahami kepenggunaan digital itu sendiri," kata Sirajuddin kepada pemberita RTM secara eksklusif, hari ini.

Dalam pada itu, beliau tidak menyangkal kemudaratan penggunaan media sosial yang tidak dipantau dan dikawal bagi tempoh jangka masa panjang.

Tambahan pula, dalam era revolusi teknologi digital arus perdana yang menyaksikan kebergantungan terhadap teknologi itu yang semakin meningkat dan kompleks.

Tegasnya, generasi hari ini perlu dibimbing, dipandu dan diselia untuk menyaring maklumat yang disebarkan menerusi pelbagai platform media sosial.

 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM