PUTRAJAYA, 28 April – Malaysia dan Maldives komited memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang merentasi pelbagai sektor, demi memupuk masa depan yang lebih makmur serta berdaya tahan.
Dalam pertemuan dua hala di Putrajaya hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Dr Muizzu membincangkan pelbagai isu melibatkan hubungan dua hala, perkembangan serantau serta antarabangsa.
Kedua-dua pemimpin menegaskan komitmen untuk terus memperjuangkan keamanan, kemakmuran dan pembangunan mampan.
Kedua-dua negara turut bersetuju memperkukuh kerjasama dalam sektor pelancongan, termasuk meneroka peluang dalam Pelancongan Mesra Muslim dan halal, khususnya menjelang kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar turut menawarkan kepakaran Malaysia dalam bidang industri halal untuk dimanfaatkan oleh Maldives.
Selain itu, Malaysia dan Maldives berikrar memperluaskan pertukaran budaya dan pendidikan serta mempertingkatkan hubungan melalui kerjasama institusi pendidikan tinggi dan kelonggaran visa pelajar.
Sebagai tanda komitmen, Malaysia dan Maldives memeterai tiga Memorandum Persefahaman (MoU) yang melibatkan kerjasama dalam bidang pelancongan, kesihatan dan sukan, selain pertukaran Nota Persefahaman berkaitan latihan diplomat dan konsultasi dua hala.
Dalam pada itu, Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu, turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas sambutan mesra yang diberikan sepanjang lawatannya. Beliau turut menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk melakukan lawatan balas ke Maldives dalam masa terdekat.
Kedua-dua pemimpin turut menegaskan pentingnya meneruskan kerjasama erat dalam menangani isu perubahan iklim sejajar dengan Perjanjian Paris, memperjuangkan hak negara membangun, serta menyeru kepada penyelesaian damai bagi konflik Palestin dan krisis kemanusiaan di Myanmar.