fb fb fb fb fb

Graduan IPT disaran kuasai lebih tiga bahasa - MQA

Foto Hiasan / Bernama

SEPANG, 28 April – Institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan disaran melahirkan graduan yang mampu menguasai lebih daripada tiga bahasa sebagai persediaan menghadapi dunia pekerjaan dalam era globalisasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata penguasaan pelbagai bahasa menjadi aspek penting dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan.

Menurut beliau, kelayakan akademik semata-mata tidak lagi menjamin peluang pekerjaan kerana pada masa kini ramai graduan memiliki kelayakan yang baik, namun kekurangan nilai tambah yang diperlukan industri.

"Pelajar digalakkan untuk melengkapkan diri dengan menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa asing selepas bahasa Melayu atau bahasa ibunda masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Nexus Peralihan: Pendekatan Baharu terhadap Jaminan Kualiti dalam Pembelajaran Berasaskan Pengalaman, Kecerdasan Buatan dan Kelestarian pada Help University Annual Convocation 24 Strategy Symposium, di sini.

Tambahnya, penguasaan bahasa asing seperti Mandarin, Arab, Perancis, Sepanyol, Jepun, Korea dan Jerman merupakan kelebihan kompetitif yang perlu dimiliki pelajar dalam suasana pasaran kerja yang semakin mencabar.

"Pelajar tidak boleh hanya bergantung kepada segulung ijazah untuk berjaya dalam kerjaya masa depan. Penguasaan pelbagai bahasa boleh membuka peluang bekerja di syarikat multinasional, antarabangsa atau di luar negara," ujarnya.

Mohammad Shatar turut mencadangkan agar IPT mengambil inisiatif memilih bahasa asing tertentu sebagai kebitaraan, supaya graduan berkemahiran bahasa asing ini menjadi rujukan majikan pada masa hadapan.

Katanya, usaha itu dapat memperkasa kedudukan IPT dan graduan tempatan di peringkat antarabangsa, sekali gus meningkatkan reputasi Malaysia sebagai hab pendidikan global.

"Masyarakat perlu mengiktiraf bahawa kepelbagaian bahasa merupakan aset berharga yang memperkukuh kedudukan pendidikan tinggi negara di peringkat dunia," katanya.

Beliau turut memberi contoh Ibnu Khaldun University di Istanbul, Turki, yang mewajibkan pelajarnya menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa iaitu bahasa Turki, Arab dan Inggeris.

"Jika inisiatif ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh di negara ini, pastinya hasrat Menteri Pendidikan, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global akan dapat direalisasikan," tambahnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN