fb fb fb fb fb

Nama SJKC Laksamana Cheng Ho masih dalam perbincangan - Exco

DEWAN Undangan Negeri Melaka/FOTO Bernama (gambar fail)

MELAKA, 25 April – Kerajaan Melaka sedang meneliti cadangan penukaran nama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Simpang Bekoh di Jasin kepada SJKC Laksamana Cheng Ho, dengan mana-mana Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) yang berminat.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman memaklumkan, pada peringkat awal, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka telah mengadakan sesi libat urus bersama warga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jasin Lalang bagi menyampaikan hasrat kerajaan negeri berhubung cadangan penukaran nama sekolah itu.

Namun, katanya, hasil perbincangan mendapati majoriti ibu bapa serta LPS tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

“Hasil sesi libat urus ini, pelbagai cadangan dikemukakan termasuk menerima nama baharu tetapi masih mengekalkan nama asal sekolah, selain mewujudkan Bilik Sejarah Sekolah bagi menyimpan dokumen berkaitan sejarah SJKC Simpang Bekoh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana pada Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad menegaskan, sebarang penukaran nama sekolah memerlukan kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selain persetujuan pelbagai pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru-guru serta LPS.

“Sekolah ini merupakan warisan yang diuruskan oleh LPS, tanahnya juga disumbangkan oleh mereka. Oleh itu, untuk tukar nama sekolah, perlu ada persetujuan semua pihak berkaitan, termasuk syarat-syarat yang ditetapkan oleh KPM,” katanya.

Tambah beliau, JPN Melaka bersedia untuk terus berbincang dengan mana-mana LPS berhubung penjenamaan semula nama sekolah Cina kepada SJKC Laksamana Cheng Ho.

Menurutnya, penjenamaan itu adalah seiring usaha kerajaan negeri untuk memelihara hubungan akrab antara Melaka dan China yang telah terjalin lebih 600 tahun.

GRACE AISYAH KEDAYAN