fb fb fb fb fb

Kelulusan poligami di Melaka dipendekkan kepada 21 hari

Gambar hiasan

MELAKA, 28 April – Tempoh kelulusan permohonan poligami di negeri ini dipendekkan kepada 21 hari bagi memudahkan urusan individu yang memenuhi syarat untuk berpoligami.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, langkah itu dilaksanakan hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta Mahkamah Syariah.

“Sebelum ini, tempoh kelulusan permohonan poligami boleh mencecah dua hingga lima bulan. Sekarang, jika semua syarat mencukupi, kelulusan boleh diperoleh dalam masa 21 hari,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Beliau menjelaskan, inisiatif tersebut bertujuan mempercepatkan proses permohonan tanpa menjejaskan ketelitian dalam memastikan syarat-syarat poligami dipatuhi.

“Sekiranya mana-mana individu ingin bernikah dan menghadapi halangan seperti isu poligami, mereka perlu memohon kebenaran di Mahkamah Syariah. Kita telah buat penambahbaikan dengan Mahkamah Syariah, dan permohonan yang lengkap boleh diluluskan dalam tempoh 21 hari,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rahmad menegaskan kerajaan negeri tidak membenarkan mana-mana individu di Melaka bernikah melalui sindiket.

Menurut beliau, tindakan tersebut akan menimbulkan kesulitan untuk mengesahkan perkahwinan pada masa akan datang.

GRACE AISYAH KEDAYAN