fb fb fb fb fb

PM ucap takziah atas pemergian Setiausaha Agung IKRAM

FOTO FACEBOOK Shahrul Aman Mohd Saari

KUALA LUMPUR, 28 April- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Setiausaha Agung Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Shahrul Aman Mohd Saari yang meninggal dunia pagi ini di Institut Kanser Negara, Putrajaya.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau, Perdana Menteri mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada seluruh ahli keluarga allahyarham dalam menghadapi saat kehilangan ini.

"Mendoakan rohnya diberi keampunan dan keluarganya diberi kekuatan setingginya saat ini," jelas Anwar.

Terdahulu, berita dukacita itu dikongsikan oleh Penolong Setiausaha Agung IKRAM, Khubaib Azhari dalam satu kenyataan.

Sementara itu, IKRAM menerusi hantaran di media sosial memaklumkan solat jenazah allahrayham yang juga bekas Pemangku Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) itu akan dilaksanakan di Masjid Universiti Putra Malaysia, Serdang selepas solat Zohor sebelum dikebumikan di tanah perkuburan bersebelahan.

Shahrul Aman memangku jawatan pengerusi BERSIH dari Mac hingga Oktober 2018 dan pernah menjadi setiausaha kepada bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.

SITI AISHAH MD ISA