PUTRAJAYA, 28 April- Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu menzahirkan penghargaan atas hubungan mesra antara Maldives dan Malaysia, selain menjemput Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melakukan lawatan rasmi ke Maldives dalam masa terdekat.
Jemputan itu disampaikan Muizzu semasa sidang media bersama Anwar di sini hari ini bersempena dengan lawatan rasmi beliau ke Malaysia selama empat hari yang bermula semalam.
"Saya berbesar hati untuk menjemput Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) melakukan lawatan rasmi ke Maldives. Kami menantikan kunjungan anda dengan penuh harapan bahawa lawatan ini akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan membawa kemajuan bermakna.
"Maldives akan terus menjadi sahabat sejati Malaysia, komited kepada visi bersama dalam pembangunan, keamanan dan kestabilan global," katanya.
Kedua-dua negara turut bersetuju untuk memperkukuhkan perkongsian termasuk melalui pertukaran peringkat tinggi dan penglibatan yang akan memperkaya pemahaman bersama serta mengukuhkan ikatan yang telah terjalin.
Selain itu, Malaysia dan Maldives berikrar untuk meneruskan kerjasama erat dalam isu-isu serantau, perubahan iklim dan solidariti umat Islam.
Muizzu turut menyatakan sokongan penuh terhadap Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, sebagai langkah penting memperkukuh hubungan serantau dan global.