PUTRAJAYA, 11 Julai – Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) komited untuk terus memperkukuh hubungan strategik merangkumi aspek perdagangan, pelaburan serta isu-isu serantau dan global.
Komitmen itu dizahirkan menerusi pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Wakil Tinggi Hal Ehwal Luar Negeri serta Dasar Keselamatan EU merangkap Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Kaja Kallas, di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Dalam kenyataan selepas pertemuan itu, Datuk Seri Anwar memaklumkan EU kini merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dengan nilai dagangan mencecah AS$47.93 bilion pada tahun 2024.
“Saya mengalu-alukan pelaburan EU dalam teknologi baharu, tenaga, aspek digital dan pendigitalan serta iklim. Malaysia juga mendukung rundingan segera bagi Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–EU (MY-EU FTA) dan Perjanjian Rangka Kerja bersama Bank Pelaburan Eropah,” jelasnya.
Selain perdagangan dan pelaburan, perbincangan turut menyentuh isu-isu antarabangsa termasuk konflik di Ukraine dan Palestin, serta pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) berkaitan situasi di Myanmar.
Malaysia turut menegaskan pendiriannya untuk terus mendukung peranan ASEAN dalam menangani krisis serantau, serta mengalu-alukan sokongan menyeluruh EU dalam usaha tersebut.