fb fb fb fb fb

Malaysia, ASEAN kekal komited perangi jenayah rentas sempadan

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 24 Jun– Malaysia sekali lagi menegaskan komitmen kukuhnya untuk bekerjasama rapat dengan negara-negara anggota ASEAN dalam memerangi jenayah rentas sempadan, yang disifatkan sebagai langkah penting demi keamanan, keselamatan dan kestabilan rantau ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kerjasama ini bukan sekadar sesuatu yang wajar dilakukan, malah satu kewajipan bersama

"Tanpa keselamatan, tiada kemakmuran. Dan tanpa keamanan, tiada kemajuan yang bermakna," katanya sambil menekankan kepentingan semangat muafakat dalam menangani cabaran bersama.

"Konsep muafakat, bekerjasama dalam kesepakatan dan solidariti, inilah yang telah banyak membantu ASEAN mengharungi pelbagai cabaran selama ini. Dan semangat yang sama jugalah yang mesti terus membimbing kita ketika berdepan dengan ancaman jenayah antarabangsa yang semakin rumit dan mencabar," katanya semasa berucap pada Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Negara (SOMTC) ke-25 di Putrajaya.

Antara pencapaian utama ialah penganjuran mesyuarat pertama Kumpulan Kerja SOMTC mengenai penyeludupan manusia yang berlangsung pada Februari lalu.

"Kita berjaya bersetuju untuk menumpukan kepada perkongsian maklumat, penambahbaikan undang-undang dan operasi, serta pengukuhan kawalan sempadan antara negara anggota," katanya.

Beliau turut memaklumkan, Malaysia telah mencadangkan penubuhan Kumpulan Kerja SOMTC baharu mengenai pengubahan wang haram, sejajar dengan peningkatan jenayah kewangan yang semakin kompleks.

"Ini penting dan tepat pada masanya bagi menangani aliran wang merentas sempadan dan penyalahgunaan mata wang digital. Kumpulan ini akan membantu memperkukuh rangka perundangan, menyelaras operasi, dan meningkatkan perkongsian risikan serantau," jelasnya.

Tambah beliau, kekuatan sebenar ASEAN dalam menangani jenayah rentas negara bukan hanya bergantung kepada teknologi, tetapi terletak pada kepercayaan, perkongsian maklumat dan usaha saling memperkasa sesama negara anggota.

"Seperti yang dikatakan, rantai kita hanya sekuat pautan yang paling lemah. Maka, kita mesti saling mengangkat antara satu sama lain agar tiada negara anggota yang tertinggal dalam usaha bersama ini," tegasnya.

Malaysia turut menggesa agar semua negara anggota ASEAN menyokong semua inisiatif yang dirangka bagi memperkukuh kerjasama operasi dan bantuan perundangan bersama.

SITI NOORAIN ABDULLAH