fb fb fb fb fb

Calon PLKN hanya dibenarkan membuat dua kali penangguhan

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perbarisan Penutupan Rasmi PLKN 3.0 Siri 2/2025 di ibu negara / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Jun - Calon Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 hanya dibenarkan membuat dua kali penangguhan daripada menyertai program tersebut.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menegaskan, sekiranya tetap gagal melaporkan diri selepas itu, pihaknya akan mengambil beberapa tindakan susulan termasuk tindakan undang-undang.

"Dua kali penangguhan sahaja dibenarkan. Kalau selepas dua kali (tidak melaporkan diri), kita akan melihat beberapa perkara termasuk sesi kaunseling kepada ahli keluarga.

"Jadi, jika semua perkara seperti mana telah kita maklumkan berkait tindakan undang-undang itu adalah perkara terakhir jika semua proses lain kita dah lakukan," jelas beliau.

Beliau ditemui pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perbarisan Penutupan Rasmi PLKN 3.0 Siri 2/2025 di ibu negara.

Mengulas lanjut isu ketidakhadiran calon PLKN, Adly menjelaskan pihaknya memberi sedikit kelonggaran penangguhan kepada calon yang melanjutkan pengajian.

Manakala, bagi yang mempunyai masalah kesihatan secara kekal, nama mereka akan digugurkan daripada menyertai program tersebut.

PLKN 3.0 Siri 2/2025 menutup tirainya hari ini melibatkan 444 orang pelatih, selepas berlangsung selama 45 hari sejak 11 Mei lalu.

Pada majlis penutup itu, dua pelatih muda dinobatkan sebagai pelatih terbaik iaitu Nurul Alleysya Balqis Abdullah dan Bartholomew Thierry Timothy.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ