fb fb fb fb fb

Malaysia–Turkiye komited perkukuh kerjasama strategik

Dr Hakan Fidan/ Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 11 Julai- Malaysia-Turkiye bertekad melonjakkan hubungan dua hala ke tahap lebih strategik.

Komitmen itu dinyatakan bersama dalam perbincangan dua hala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Turkiye, Dr Hakan Fidan di Pejabat Perdana Menteri.

"Kami menyentuh lanjut mengenai pelaksanaan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HSLC) serta wahana Mesyuarat Jawatankuasa Bersama (JCM) peringkat menteri luar sebagai wadah penting dalam menelusuri isu-isu tertangguh," katanya menerusi kenyataan.

Dr Hakan mengadakan kunjungan hormat terhadap Datuk Seri Anwar bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM Ke-58).

Untuk rekod, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat.

Sejajar dengan hasrat melonjakkan hubungan bersama ke tahap lebih strategik, Putrajaya-Istanbul akan terus menggalakkan pelaburan dalam sektor-sektor strategik.

"Kita ingin terus menggalakkan pelaburan dalam sektor strategik seperti semikonduktor, farmaseutikal, ekonomi digital dan hijau, kecerdasan buatan serta aeroangkasa," ujar beliau lagi.

Dalam pertemuan sama, Malaysia turut menzahirkan penghargaan penyertaan Turkiye dalam industri pertahanan dan penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025.

"Kita menjangkakan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama pertahanan serta memperkemas perolehan perkakas serta kelengkapan pertahanan antara kerajaan," kata beliau.

Selain itu, Datuk Seri Anwar turut menyatakan hubungan Malaysia-Turkiye bukan sekadar hubungan diplomatik, malah ia mencakupi kepentingan strategik dan nilai bersama yang mesti terus diperkuat demi kestabilan rantau dan kesejahteraan sejagat.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM