PUTRAJAYA, 11 Julai - Sebanyak 10 daripada 60 substrategi di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 berjaya diselesaikan setakat 3 Jun.
Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Idris Zaharudin berkata, ini sekali gus memberi dorongan kepada usaha meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Tambah beliau, pencapaian tersebut melibatkan lima substrategi yang diselesaikan pada 2024 dan lima lagi dicapai sepanjang tahun ini.
"Antara substrategi yang telah diselesaikan termasuk inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memasukkan minggu tema etika, nilai murni dan antirasuah dalam kalendar akademik sekolah serta usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menambah baik pelaksanaan Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) di institusi pengajian tinggi.
"Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pula berjaya memastikan pelaksanaan Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) oleh ketua jabatan di pelbagai peringkat, manakala Jabatan Audit Negara (JAN) memantapkan tadbir urus dan fungsi Audit Dalam dalam perkhidmatan awam," katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Pre-Council Pasukan Petugas Khas CPI bersama ketua-ketua Focus Group (FG) CPI pada Rabu lalu.
Mesyuarat itu diadakan bagi mengemas kini pelaksanaan tindakan terkini enam FG selaras dengan usaha memperkukuh prestasi CPI negara.
Tambah beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut menggubal undang-undang baharu bagi memperketat kawalan pintu masuk sempadan negara.
Manakala Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) meningkatkan sistem saringan pengambilan penjawat awam.
Dalam masa sama, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) turut memperkenalkan semula Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025.
Menurutnya, SPRM juga telah menyelesaikan tiga substrategi NACS iaitu mempertingkatkan sistem pelaporan kepada pengadu, menganjurkan sesi libat urus tahunan bersama penggubal undang-undang, serta menjalankan kajian kebolehlaksanaan Perjanjian Pendakwaan Tertunda dalam kerangka perundangan Malaysia.
“Pencapaian pelaksanaan substrategi ini bukan sahaja memperkukuh prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban kepada rakyat, bahkan mampu melonjakkan prestasi negara dalam penilaian CPI yang akan datang,” katanya.
FG CPI ditubuhkan pada 3 Oktober 2024 sebagai inisiatif menyokong sasaran meletakkan Malaysia dalam kedudukan 25 teratas CPI dunia menjelang 2033.