
SUNGAI BESI, 19 Januari – Kementerian Pertahanan (MINDEF) membuat satu laporan polis berhubung penyebaran naratif spekulasi mengenai urusan perjawatan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi media sosial.
- MINDEF membuat laporan polis berhubung penyebaran spekulasi perjawatan strategik ATM di media sosial.
- Pendedahan dibuat sebelum pelantikan dimuktamadkan dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
- Nama, jawatan dan pergerakan pegawai kanan ATM dianggap sensitif dan membahayakan keselamatan.
- MINDEF memberi amaran tindakan undang-undang di bawah pelbagai akta terhadap penyebar maklumat terperingkat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata tindakan itu diambil susulan pendedahan dibuat sebelum sebarang keputusan pelantikan dimuktamadkan dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Jadi, sebelum perkenan Yang di-Pertuan Agong, ada pihak telah mengeluarkan maklumat. Oleh itu, pihak kementerian telah membuat aduan kepada pihak polis dan meminta supaya siasatan dijalankan agar perkara seperti ini tidak berulang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Residensi Sateria, di sini hari ini.
Datuk Seri Mohamed Khaled turut menegaskan, pendedahan nama, jawatan dan pergerakan pegawai kanan ATM menimbulkan risiko keselamatan kerana maklumat berkenaan bersifat sensitif dan tidak pernah didedahkan kepada umum.
Semalam, MINDEF dalam satu kenyataan memberi amaran tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang didapati menyebarkan maklumat terperingkat atau maklumat dalaman kerajaan di media sosial.
Menurut kementerian, perbuatan mendedahkan maklumat terperingkat boleh disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Angkatan Tentera 1972 serta Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.