KUALA LUMPUR, 22 Jun- Majlis Media Malaysia merupakan platform terbaik untuk menguruskan isu berkaitan etika kewartawanan, termasuk penerbitan infografik mengenai pelantikan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, oleh sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan laporan infografik itu telah memberikan impak naratif yang tidak tepat dan menimbulkan fitnah.
“Secara peribadi saya agak terkejut dengan penerbitan grafik infografik yang tidak betul itu. Ia sangat tidak benar. Saya tidak pernah melihat Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dalam mana-mana acara parti seperti mesyuarat, konvensyen atau kongres PKR,” tegasnya dalam satu sidang media selepas merasmikan Karnival Kita MADANI Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di IWK Eco Park Lembah Pantai hari ini.
Tambahnya dengan tertubuhnya Majlis Media ini, meskipun strukturnya masih belum lengkap, ia akan menjadi ruang terbaik untuk pihaknya menguruskan isu-isu seumpama itu.
Beliau turut menyeru semua pihak agar lebih beretika dalam melaporkan berita dan memastikan kesahihan maklumat sebelum disebarkan kepada umum.