KUALA KANGSAR, 22 Jun - Pemain industri perladangan di Malaysia disaran memberi peluang kepada pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) untuk mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor tersebut sebelum membuat permohonan mengambil pekerja asing.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu penting bagi memastikan peluang pekerjaan ditawarkan terlebih dahulu kepada golongan muda tempatan.
"Mereka ni kadang-kadang nak ambil jalan mudah, tapi saya faham, jika kita tidak benarkan ambil pekerja asing, banyak kerja tak boleh buat. Tetapi apa yang kita sarankan kita ambil sedikit sahaja. Mungkin kita latih selama setahun, contohnya 250 orang, kemudian kita agihkan mereka ke semua industri ini," katanya.
Datuk Seri Johari bercakap kepada pemberita pada Program Dialog @ KPK bersama Menteri Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yang berlangsung di Dewan Persatuan India Kuala Kangsar.
Pemain industri seharusnya membantu dalam merancakkan lagi industri dengan melantik lebih ramai golongan muda sebagai salah satu cara memajukan diri dalam bidang pekerjaan.
Ia sekali gus dapat menarik lebih ramai golongan muda berminat menceburi bidang perladangan.
Program berkenaan merupakan satu jelajah yang dijalankan oleh Kementerian Perladangan dan Komuniti bagi memberi pendedahan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengenai TVET Perladangan bagi memastikan tiada pelajar tertinggal dalam arus pendidikan.