fb fb fb fb fb

Jawatankuasa khas ditubuh banteras penipuan pakej pelancongan dalam talian

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan

PENAMPANG, 22 Jun – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membanteras penipuan pakej pelancongan dalam talian yang semakin membimbangkan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, penubuhan itu adalah susulan peningkatan kes penipuan pakej pelancongan berharga murah yang giat dipromosikan menerusi media sosial.

"Ini adalah bagi kita melihat bagaimana kita boleh membendung penipuan dalam talian. Untuk kita menutup ruang secara terus memang sukar dan ini juga perlu ada sedikit pendidikan, terutamanya kepada pengguna. Tapi kita tidak boleh salahkan pengguna 100 peratus,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah N.26 Moyog, di sini hari ini.

Menurut beliau, kesedaran dan pengetahuan asas mengenai kesahihan pakej pelancongan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak, termasuk pengguna sendiri.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar membuat semakan terlebih dahulu terhadap status syarikat pelancongan sebelum melakukan sebarang tempahan.

“Senarai syarikat pelancongan yang sah dan berdaftar boleh dirujuk menerusi laman sesawang rasmi kementerian,” jelasnya.

GRACE AISYAH KEDAYAN