AYER KEROH, 22 Jun - Tiga pemandu bas henti henti atau 'bas pink' di Melaka telah digantung tugas atas pelbagai kesalahan trafik termasuk menyebabkan kematian seorang pengguna jalan raya baru-baru ini.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah awal sementara siasatan dan semakan latar belakang dijalankan terhadap pemandu terbabit.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan jika didapati bersalah, ketiga tiga pemandu bas akan ditamatkan perkhidmatan dan diambil tindakan selanjutnya.
"Jadi kita akan mengenal pasti dan pemandu yang terlibat dengan kesalahan-kesalahan bas pink bawah mybas di Melaka ini, kita mengambil arahan untuk gantung dulu," katanya selepas Majlis Penyerahan MyLesenB2 di MITC Ayer Keroh.
Tiga pemandu terbabit digantung tugas selepas masing-masing terlibat dengan kesalahan melakukan pusingan U secara berbahaya dan satu kes membabitkan kemalangan maut di Alor Gajah, baru-baru ini.
Tambahnya, beliau juga akan melakukan pertemuan dengan hampir 60 pemandu Bas.My itu dalam masa terdekat bagi mengulas isu tersebut.