(Datuk Seri Ahmad Maslan semasa melawat ke Majlis
Pra Pelancaran Restu Global Quranic Arts Festival di Putrajaya)
PUTRAJAYA, 16 Januari- Kementerian Kewangan menjemput 170 organisasi termasuk jabatan kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) menghadiri Majlis Dialog Belanjawan 2023 esok.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kesemua yang diundang akan menyuarakan pendapat masing-masing berhubung Belanjawan tersebut.
(Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan)
"Menteri Kewangan akan mendengar pandangan-pandangan. Setiap organisasi yang terlibat boleh bercakap tiga hingga 5 minit di hadapan Menteri Kewangan sendiri dan Bajet dialog itu daripada pukul 8.15 pagi hingga tengah hari di Kementerian Kewangan.
"Selain daripada itu Ketua Setiausaha (KSU) semuanya juga dijemput. Jadi ia adalah satu usaha mendengar pandangan dan pendapat", katanya selepas Majlis Pra Pelancaran Restu Global Quranic Arts Festival di Putrajaya.
Belanjawan 2023 yang disemak semula dijadual dibentang di Dewan Rakyat pada 24 Februari.
Pada 20 Disember lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dengan peruntukan berjumlah RM107.7 bilion.