YAN, 16 Januari- Umat Islam yang bernikah di Thailand diingatkan segera membuat pendaftaran di pejabat agama daerah bagi membuat pengesahan pernikahan mereka sama ada sah atau sebaliknya.
Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Datuk Syeikh Ahmad Faisol Omar berkata hal ini kerana terdapat sebilangan kes pernikahan Thailand tidak sah termasuk terdapat lelaki yang berkahwin dengan isteri orang yang masih di dalam edah.
"Sah atau tidak bergantung kepada siasatan pendaftar nikah. Kita tengok keterangan daripada wali juru nikah di Thailand, sama ada bertauliah atau tidak. Perkahwinan itu akan diputuskan oleh pendaftar nikah. Kebanyakan kes adalah sah dan lima hingga enam peratus tidak sah," katanya kepada pemberita di sini.
Tambah Syeikh Ahmad Faisol, selepas pandemik COVID-19 selama dua tahun, kes pendaftaran nikah di pejabat itu kembali meningkat secara purata 15 kes sebulan.
Katanya, kes-kes membabitkan pernikahan di Thailand terbahagi kepada tiga kesalahan iaitu kesalahan bernikah tanpa kebenaran bagi individu yang belum berkahwin atau bujang.
Manakala bagi kesalahan kedua adalah berpoligami tanpa kebenaran dan lewat mendaftarkan pernikahan, mereka ini akan didenda sebanyak RM1,000 melainkan yang berpoligami tanpa kebenaran akan didenda RM3,000.
Umat Islam nikah Thailand perlu segera daftar di Malaysia
