fb fb fb fb fb

MAIWP lulus peruntukan RM52 juta untuk asnaf di Labuan

(Mohd Nizam Yahya)

LABUAN, 28 November- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meluluskan peruntukan RM52 juta daripada kutipan bayaran zakat untuk menampung perbelanjaan pembangunan dan skim bantuan bulanan kepada golongan asnaf di Labuan bagi tahun depan.
 
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya berkata, peruntukkan itu termasuklah skim bantuan kewangan bulanan, bantuan sewa rumah, pendidikan serta bantuan zakat khas menerusi Program MAIWP-INSANI untuk golongan berkenaan.
 
Sementara itu, Mohd Nizam berkata, Labuan merupakan negeri di Wilayah Persekutuan yang mempunyai banyak permohonan bagi skim bantuan baiki dan bina baru rumah.
 
Sehubungan itu, jelas beliau, MAIWP mengambil inisiatif untuk membeli rumah milik Perbadanan Labuan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM30.6 juta.

Mohd Nizam berkata pengurusan pembelian itu dalam proses memperhalusi aku janji bersama pihak berkaitan.

"Kita (MAIWP) akan ada perumahan asnaf, di mana kita beli 140 unit rumah daripada Perbadanan Labuan di Taman Ganggarak Permai.

"Kita nak beri mereka (golongan asnaf) satu tempat penginapan yang sesungguhnya kondusif untuk mereka hidup dalam satu keluarga yang sakinah, yang aman, yang orang kata tenteram untuk mereka sekeluarga," katanya selepas menyempurnakan simbolik penyerahan kerja naik taraf dan ubah suai Masjid An-Nur, di sini.

Beliau turut berkesempatan menyampaikan bantuan menerusi Program MAIWP-INSANI membabitkan peruntukan sebanyak RM6.99 juta dan menyampaikan bantuan kepada Tabung Kebajikan Hospitan Labuan sebanyak RM50,000.

Dalam pada itu, Mohd Nizam berkata, pihaknya mencadangkan agar perkampungan asnaf bercirikan 'Bandar Islam' dibina di kawasan seluas 30 ekar membabitkan pembinaan 200 unit rumah dengan kemudahan infrastruktur yang lengkap.

(MAIWP cadang bina perkampungan asnaf bercirikan 'Bandar Islam')

Media Baharu