fb fb fb fb fb

Empat ejen bookie Piala Dunia ditahan

(Siaran media Polis KL)

KUALA LUMPUR, 28 November- Empat ejen bookie pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia ditahan polis dalam operasi di sebuah kediaman di Taman Bukit Maluri Kepong, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesemua suspek berusia 40 tahun hingga 48 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10.15 malam dalam operasi dijalankan oleh sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

"Hasil serbuan telah menahan empat orang lelaki warga tempatan yang merupakan ejen bookie pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 di mana kesemuanya berusia di antara berusia antara 40 hingga 48 tahun," kata beliau dalam satu kenyataan.

Beh Eng Lai berkata, siasatan mendapati kegiatan perjudian itu berselindung di sebalik sebuah kediaman yang dipercayai beroperasi sejak sebulan lalu.

Dalam operasi itu, polis turut merampas tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama, modem, unit tablet, dua komputer riba dan kunci rumah.

“Kesemua suspek direman tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada suspek mempunyai satu rekod kesalahan jenayah lampau.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menguruskan aktiviti perjudian dalam talian, Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 kerana menjadi ejen perjudian bola sepak dan Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 kerana bermain judi dalam talian.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dalam mana-mana aktiviti perjudian.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang perlakuan jenayah, boleh hubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-4048222," jelas Beh Eng Lai lagi.

(Foto FB Polis KL)

Media Baharu