fb fb fb fb fb

MAIWP bantu tingkat pembangunan ummah dan sosio-ekonomi

LABUAN, 15 Mei- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memainkan peranan penting yang menyeluruh dalam usaha membantu meningkatkan pembangunan ummah dan sosio-ekonomi masyarakat islam, khususnya di Labuan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Nizam Yahya berkata, pihaknya mempelbagaikan bantuan dan berusaha meningkatkan kesejahteraan umat islam.
 
Oleh itu, pihaknya merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti melalui sistem pengurusan dan pembangunan yang berlandaskan hukum syarak dengan menggunakan sumber MAIWP.

"Bantuan Perniagaan adalah salah satu skim bantuan daripada 30 skim bantuan yang MAIWP tawarkan kepada golongan asnaf di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

"Namun, kita juga sediakan program-program untuk membimbing mereka untuk menjadi seorang usahawan. Kalau hari ini mereka sebagai penerima bantuan esok lusa, mungkin mereka sebagai pembayar zakat dan ia boleh digunakan kepada generasi akan datang," katanya demikian ketika ditemui pemberita, selepas Majlis Tautan Kasih Aidilfitri bersama Asnaf 2023 di Labuan.
 
Sementara itu, hampir 5,000 orang menghadiri majlis yang dianjurkan oleh MAIWP Labuan.
 
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Ikon Asnaf MAIWP 2023 peringkat Labuan kepada Diana Darman yang mana beliau merupakan penerima Bantuan Perniagaan MAIWP.
 
Beliau yang kini mempunyai empat cawangan jualan air minuman teh dan lima ejen di bawahnya meraih pendapatan mencecah RM40,000 sebulan.

"Rasa sangat bersyukur keranan dengan bantuan MAIWP saya dapat bantuan perniagaan, kursus dan lawatan-lawatan yang membuatkan kami terus bersemangat. Terima kasih MAIWP," katanya di sini.

Pada majlis itu juga, turut disampaikan replika cek kepada wakil penerima bagi bantuan kewangan bulanan MAIWP dan pengusaha trak makanan MAIWP, serta penyampaian duit raya kepada anak-anak asnaf yang hadir.

(Nizam Yahya)

Media Baharu