SHAH ALAM, 18 Jun- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengagihkan lebih RM4.6 juta wang fidyah dan wang saku pelajar kepada lebih 15,000 pelajar kurang berkemampuan di seluruh negeri Selangor, menerusi program Agihan Fidyah MAIS, Wang Saku Pelajar 2025.
Pengerusi MAIS, Datuk Setia Salehuddin Saidin berkata, inisiatif itu dijayakan dengan kerjasama rakan strategik Agihan Fidyah MAIS, melibatkan pelbagai institusi pendidikan.
Daripada jumlah keseluruhan, sebanyak RM1.83 juta disalurkan kepada institusi pengajian tinggi, RM1.5 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, RM1.05 juta kepada Jabatan Agama Islam Selangor dan RM300,000 kepada Yayasan Islam Darul Ehsan.
Sumbangan berkenaan memberi manfaat kepada pelajar sekolah rendah, menengah, sekolah agama dan kelas KAFA di seluruh negeri.
“Tujuan kita mengagihkan, of course jumlah RM300 kepada setiap pelajar ini mungkin tidak mencukupi. Tetapi ia cukup sekadar membantu meringankan sedikit beban pelajar, terutamanya golongan B40 supaya mereka dapat manfaat sedikit sebanyak daripada wang fidyah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan program berkenaan di Shah Alam.