PUTRAJAYA, 18 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ConocoPhillips, Ryan Lance, hari ini.
ConocoPhillips merupakan syarikat minyak terkemuka dari Amerika Syarikat (AS) yang terlibat dalam penerokaan, pembangunan dan pengeluaran minyak di peringkat global, termasuk Malaysia.
Dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri menegaskan komitmen Kerajaan MADANI terhadap dasar yang jelas dan mesra pelabur, bagi memastikan keyakinan berterusan syarikat-syarikat multinasional seperti ConocoPhillips untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan jangka panjang.
ConocoPhillips turut menyatakan komitmen mereka untuk terus melabur di Malaysia, termasuk melalui penglibatan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran Kluster Kebabangan (KBBC PSC) di Sabah.
Projek ini dikendalikan oleh anak syarikatnya, ConocoPhillips Sabah Gas Ltd, dengan kerjasama strategik daripada PETRONAS.
"Pelaburan berterusan oleh syarikat-syarikat tenaga utama seperti ConocoPhillips amat penting dalam menjamin kestabilan dan kemampanan tenaga negara.
"Selain itu, ia juga mampu merangsang pertumbuhan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam sektor minyak dan gas," kata Datuk Seri Anwar menerusi hantaran di Facebook.