fb fb fb fb fb

MAIS bimbang rayuan SIS ganggu autoriti institusi fatwa

Datuk Salehuddin Saidin bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Agihan Fidyah MAIS Wang Saku Pelajar 2025

SHAH ALAM, 18 Jun- Rayuan oleh pertubuhan SIS Forum (Malaysia) terhadap fatwa yang mengisytiharkan mereka sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam dikhuatiri boleh memberi impak besar kepada kedudukan institusi fatwa di negara ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, sekiranya Mahkamah Persekutuan memihak kepada SIS Forum, ia bakal membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk mencabar fatwa-fatwa lain yang telah digubal dan diwartakan secara sah.

“Kita mengharapkan keputusan mahkamah memihak kepada kita sebab kesan implikasinya sangat besar. Kalau tidak, nanti dikatakan mereka boleh cabar apa sahaja fatwa selepas ini.

“Fatwa ini merupakan satu keputusan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa, yang telah mengkaji dari pelbagai aspek sebelum ianya menjadi satu fatwa yang berkuat kuasa di negeri-negeri. Jadi amatlah diharapkan keputusan ini memihak kepada kita," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Agihan Fidyah MAIS Wang Saku Pelajar 2025, hari ini.

Salehuddin turut menegaskan bahawa fatwa tidak dibuat secara sembarangan, sebaliknya melalui perbincangan terperinci bersama para ilmuwan Islam yang diiktiraf.

Mahkamah Persekutuan dijadual memutuskan kes rayuan SIS Forum esok.

SIS Forum sebelum ini gagal dalam cabaran mereka terhadap fatwa tersebut di Mahkamah Tinggi pada 2020 dan Mahkamah Rayuan pada 14 Mac 2023.

Fatwa yang diwartakan oleh kerajaan Selangor pada 17 Julai 2014 itu mengisytiharkan pertubuhan berkenaan sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE