KUALA LUMPUR, 18 Jun - Inisiatif pembiayaan kesihatan RESET diyakini mampu mengurangkan kadar inflasi perubatan negara yang kini berada pada tahap membimbangkan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, kadar inflasi perubatan di Malaysia kini mencecah 15 %, menjadikannya antara yang tertinggi di Asia berbanding purata serantau iaitu sekitar 11 %, menurut data daripada Aon International Insurance Brokers.
“Saya sentiasa melihat isu ini daripada empat perspektif utama. Saya percaya bahawa semua pihak yang berkepentingan memainkan peranan penting.
"Pertama, penyedia perkhidmatan iaitu hospital. Kedua, pembayar seperti syarikat insurans. Ketiga, para doktor dan pengamal perubatan dan akhirnya, pesakit. Keempat-empat pihak ini perlu berganding bahu untuk memastikan usaha pembaharuan ini berjaya,” katanya.
Tambah beliau, peningkatan kos rawatan kesihatan hanya dapat ditangani melalui pembaharuan menyeluruh dan kerjasama strategik antara semua pemain industri.
Beliau berkata demikian semasa ucap utama bertajuk "Rising Cost, Rising Stakes: Expediting Reforms to Address Medical Inflation", di Simposium Sasana 2025, hari ini.
Menurut beliau, laporan tahunan Bank Negara sebelum ini juga telah beberapa kali menekankan keperluan mendesak untuk menangani isu inflasi perubatan yang berlarutan.
“Pada Disember tahun lalu, kami telah memperkenalkan langkah-langkah awal yang membuka ruang kepada pelaksanaan pembaharuan lebih menyeluruh dalam sektor ini.
"Sehubungan itu, kerangka RESET dibangunkan berasaskan lima teras strategik dan disokong oleh 11 kumpulan kerja khusus," katanya.
Antara objektif utama inisiatif ini ialah mereka bentuk semula produk insurans kesihatan, menambah baik ketersediaan alat, membantu pengguna membuat pilihan perlindungan, serta meningkatkan ketelusan harga melibatkan prosedur perubatan.