fb fb fb fb fb

MAIS peruntuk RM21.2 juta bimbing, rawat asnaf riqab

(Tan Sri Hashim Meon (tengah) melakukan gimik perasmian sempena
Bulan Pembebasan Riqab di Shah Alam)

SHAH ALAM, 2 September- Seramai 2,529 golongan asnaf riqab termasuk golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Selangor mendapat bimbingan dan bantuan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS, Tan Sri Hashim Meon berkata sebanyak RM21.2 juta peruntukan zakat diperuntukkan bagi membantu mereka terutama dari segi pemulihan, rawatan dan perlindungan.

"Angka ini meningkat dari tahun ke tahun dan ini menunjukkan MAIS serta agensi berkaitan komited dalam membantu, membimbing, memulihkan dan memberikan kebajikan kepada asnaf Ar-Riqab di Selangor.

"MAIS memperuntukkan RM 21.2 juta dari peruntukan zakat asnaf riqab untuk tahun ini bagi membantu dan membimbing golongan terbabit yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan selain pelbagai bantuan lain supaya mereka kembali ke pangkal jalan.

"Peruntukan diberikan kepada asnaf ini setiap bulan mengikut kadar ditetapkan iaitu antara RM750 hingga RM1,250," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2022 di Shah Alam, petang semalam.


(Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS, Tan Sri Hashim Meon)

Hashim berkata, seramai 160 daripada 2,529 Asnaf Ar-Riqab adalah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dibantu MAIS.

Sehingga kini katanya, MAIS memiliki Rumah Pemulihan Majlis (RPM) iaitu Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di Sabak Bernam, Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Hulu Selangor dan Pusat Perlindungan Baitul Islah di Serendah.

"Selain itu, MAIS juga mempunyai 25 Rumah Pemulihan Riqab (RPR) yang berdaftar di bawah MAIS. Peranan dan fungsi Rumah Pemulihan Riqab ini adalah sangat besar dalam membantu MAIS mengatasi masalah sosial di Negeri Selangor," katanya.

Dalam pada itu katanya, MAIS melalui Jawatankuasa Riqab dan Bahagian Pemulihan Ar-Riqab MAIS mengadakan Kempen Bulan Pembebasan Riqab sepanjang bulan September ini.

Antara objektif kempen adalah memberikan kefahaman ilmu serta kesedaran mendalam kepada penghuni RPM dan RPR berhubung masalah sosial dan kesihatan.

Media Baharu