fb fb fb fb fb

MAIPs salur sumbangan RM4.475 juta bantuan zakat fitrah

KUALA LUMPUR, 8 April- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan sumbangan berjumlah RM4.475 juta bantuan zakat fitrah tahun ini.

Sumbangan berkenaan disalurkan kepada 11,189 orang penerima dalam kalangan asnaf fakir miskin di 102 buah kariah masjid di seluruh Perlis.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mengingatkan semua agar setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh MAIPs hendaklah sentiasa realistik dan menepati keperluan yang dihasratkan oleh rakyat.


(Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail)

MAIPs juga disaran agar sentiasa bersedia dengan perubahan kehidupan rakyat masa kini serta sentiasa mengambil pendekatan yang relevan, progresif dan berorientasikan hasil, dengan mengekalkan teras ajaran agama, bertunjangkan prinsip al-Quran dan sunnah.

Baginda bertitah pada Majlis Iftar Jamaie Ahli Majlis dan Jawatankuasa-jawatankuasa di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Majlis berkenaan merupakan acara tahunan anjuran MAIPs sebagai satu medium interaksi bagi menghimpunkan pelbagai tokoh dalam memberikan sumbangsaran terhadap prestasi dan pencapaian MAIPs.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi anakanda-anakanda baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana serta Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Media Baharu