KUALA LUMPUR, 8 April- Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) meluluskan 43 peratus lebih banyak kapasiti penerbangan tambahan bagi musim perayaan Aidilfitri tahun ini.
Ini menjadikan 527 penerbangan tambahan telah diluluskan bagi menampung permintaan tinggi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman.
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya dan MAVCOM telah mengambil langkah proaktif dengan mengalakkan syarikat-syarikat penerbangan untuk menawarkan harga penerbangan secara berpatutan.
"Penetapan harga tiket pula dibuat berdasarkan mekanisme dinamik, di mana pembeli awal boleh mendapat harga berpatutan apabila masih banyak lagi tiket yang belum terjual.
"Namun harga boleh menjadi mahal apabila baki tiket semakin berkurangan di pasaran", menurut kenyataan itu.
(Foto hiasan)
Selain, meluluskan semua permintaan kapasiti tambahan oleh syarikat penerbangan yang menawarkan tambang tetap ke destinasi-destinasi utama dalam Malaysia.
MAVCOM turut meluluskan penerbangan-penerbangan tambahan lain untuk memastikan ketersediaan tempat duduk yang lebih tinggi dalam menangani peningkatan permintaan dan memastikan harga penerbangan berpatutan.
Pihak Malaysia Airlines Berhad (MAB), juga telah bersetuju untuk meningkatkan kapasiti penerbangannya.
"Ini termasuk 40 penerbangan berjadual MAB akan menggunakan pesawat berbadan lebar Airbus A330 (wide-body) bagi menampung permintaan bagi sektor Kuala Lumpur ke Kuching dan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu", menurut kenyataan itu.