fb fb fb fb fb

Ihtifal KAFA, perkukuh penguasaan kurikulum murid

(Majlis pelancaran Ihtifal KAFA peringkat kebangsaan 2023 di  Seremban)

SEREMBAN, 8 April- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi penganjuran Ihtifal Kelas Al Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang akan berlangsung pada 25 hingga 27 Ogos ini. 

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ruslan Said berkata, ikhtifal ini merupakan sebahagian daripada aktiviti kokurikulum dan latihan pengukuhan kepada murid-murid KAFA dalam menguasai kurikulum KAFA JAKIM berasaskan elemen kesenian dan juga kreativiti.

"Jadi mereka ada kelebihan, bila ada kemampuan mereka untuk berjaya di ikhtifal ini, itu satu kelebihan kepada mereka, kita mengharapkan ini produk-produk pelajar-pelajar KAFA ini.


(Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Ruslan Said)

"Contohnya adik Ahmad Azfar merupakan satu contoh, hasil KAFA ini, ikhtifal KAFA ini telah berjaya membuka mata untuk membawa adik Ahmad Azfar tadi ke peringkat antarabangsa", katanya pada majlis pelancaran Ihtifal Kelas Al Quran dan fardu Ain (KAFA)  peringkat kebangsaan 2023 di  Seremban, Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan telah dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran ikhtifal KAFA kali ke-8 dan Politeknik Nilai Negeri Sembilan telah dipilih sebagai lokasi penganjuran.

Antara acara yang dipertandingkan adalah pertandingan tilawah al-Quran, hafazan al-Quran, bercerita kisah al-Quran, Khat dan tambahan pada tahun ini akan dipertandingkan dua lagi acara iaitu nasyid dan jawi.

Ahmad Azfar Azraei dari Melaka yang menjadi johan acara Tilawah Al-Quran pada Ihtifal KAFA tahun lepas telah dipilih untuk mewakili negara ke Algeria dan telah dinobatkan sebagai johan pada pertandingan peringkat antarabangsa itu baru-baru ini.

Menurut Ruslan, kejayaan Ahmad Azfar telah membuktikan bahawa murid-murid KAFA merupakan murid-murid yang mempunyai potensi besar untuk digilap sehingga mampu mengharumkan nama negara.

Media Baharu